Sejarah Ciptaan Televisyen

Televisyen (TV) ialah sejenis media telekomunikasi terkenal yang digunakan untuk memancarkan dan menerima gambar bergerak, sama ada monokrom ("hitam putih") mahupun warna, lazimnya diiringi bunyi. "Televisyen" juga boleh memaksudkan peti televisyen, rancangan televisyen atau pancaran televisyen. Perkataan "televisyen" terbentuk dari gabungan perkataan tele (τῆλε, "jauh") dari bahasa Greek dan visio ("penglihatan") dari bahasa Latin.

Peti televisyen yang dijual sejak akhir 1930-an sudah menjadi salah satu alat penerima komunikasi utama dalam rumah, perniagaan dan institusi, khususnya sebagai sumber hiburan dan berita. Sejak 1970-an, kemunculan pita video, cakera laser, DVD dan kini Blu-ray juga menjadikan peti televisyen sebagai alat untuk menayangkan bahan rakaman.

Pencipta berbangsa Scotland, John Logie Baird menunjuk cara pemancaran imej bayang-bayang bergerak di London pada 1925, diikuti imej monokrom pada tahun 1926. Cakera imbasan Baird menghasilkan imej berleraian 30 baris yang cukup untuk memperlihatkan muka manusia dari pilin kembar kanta. Penting sekali pada tahun 1927, Baird turut mencipta sistem rakaman video pertama di dunia, iaitu "Phonovision" yang mana isyarat output kamera TV-nya dimodulatkan kepada julat audio di mana beliau dapat merakamkan isyarat tersebut pada cakera audio 10 inci dengan menggunakan teknologi rakaman audio biasa. Pada hari ini masih wujudnya sebilangan kecil rakaman 'Phonovision' ciptaan Baird itu yang berjaya ditafsirkan dan dipaparkan dalam bentuk imej yang boleh ditonton dengan menggunakan teknolgi pemprosesan isyarat digital pada tahun 1990-an.